SISTEM MAKLUMAT KEMISKINAN NEGARA (eKasih)

SISTEM MAKLUMAT KEMISKINAN NEGARA (eKasih)

ICU JPM mendapati sejak akhir-akhir ini banyak kekeliruan mengenai eKasih telah diperkatakan. Bagi maksud meningkatkan kefahaman dan mengelakkan perkara ini terus berlaku, berikut adalah penjelasan yang menyeluruh mengenai eKasih.

PENGENALAN

1. Kerajaan pada 31 Oktober 2007 telah memutuskan dan bersetuju untuk membangunkan eKasih bagi mengatasi isu tiadanya data bersepadu mengenai pembasmian kemiskinan yang mengumpul dan mengesan pergerakan isi rumah miskin untuk mencapai sasaran nasional bagi mensifarkan kadar miskin tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan kepada 2.8% pada hujung tahun 2010.

2. eKasih ialah satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan serta mengesan pergerakan isi rumah kepada kategori yang lebih baik seperti dari kategori miskin tegar kepada miskin dan seterusnya.

PENDAPATAN GARIS KEMISKINAN

3. Kriteria menentukan status kemiskinan adalah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan PGK per kapita isi rumah yang telah ditentukan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU). Mereka yang layak mendaftar dan dimasukkan ke dalam eKasih adalah berdasarkan kepada kriteria berikut:

i. Ketua Isi Rumah (KIR) adalah daripada kalangan ahli isi rumah sesuatu tempat kediaman yang bertanggungjawab atau diberi tanggungjawab terhadap kebajikan ahli isi rumah (AIR) di manadia tinggal. Semua tanggungan KIR adalah AIR yang dianggap sebagai penghuni biasa di tempat kediaman yang dipilih.

ii.PGK melalui Laporan Penyiasatan Isi rumah (HIS) yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) pada tahun 2007 menetapkan kategori miskin adalah seperti berikut:

(a) Kategori miskin tegar ialah golongan yang mempunyai pendapatan kurang dari RM430.00 bagi Semenanjung Malaysia, RM540.00 bagi Sabah dan RM520.00 Sarawak. Manakala pendapatan per kapita isi rumah tersebut adalahRM100.00 bagi Semenanjung, RM110.00 bagi Sabah dan RM115.00 bagi Sarawak dengan bilangan isi rumah 4.4 Semenanjung, 5.2 bagi Sabah dan 4.6 bagi Sarawak.

(b) Kategori Miskin ialah golongan yang mempunyai pendapatan kurang dari RM720.00 bagi Semenanjung (RM163.00 per kapita), RM960.00 bagi Sabah (RM184.00 per kapita) dan RM830.00 bagi Sarawak (RM180.00 per kapita).

(c) Mudah Miskin ialah golongan yang mempunyai pendapatan melebihi PGK bermaksud threshold di bawah RM1,500.00 bagi kawasan bandar dan RM1,000.00 bagi kawasan luar bandar.

PENGUMPULAN MAKLUMAT MELALUI BANCIAN

4. Data dan maklumat yang dimasukkan ke dalam eKasih adalah berasaskan kepada Banci Isi Rumah Miskin (BIRM). BIRM adalah program banci dengan pendekatan isi rumah dan bukan individu. Untuk tujuan itu, ICU JPM dengan kerjasama DOS telah menjalankan bancian berdasarkan kepakaran dan kemahiran yang ada. Hasil bancian diserahkan kepada ICU JPM sebagai input utama kepada eKasih. BIRM terdiri daripada dua fasa.

5. BIRM dijalankan dalam dua fasa di mana Fasa I dijalankan secara menyeluruh merangkumi kawasan bandar dan luar bandar bermula Disember 2007 sehingga Jun 2008 dengan rangka (frame) secara khusus diperolehi berdasarkan kepada senarai UPIS (KPKT) dan SPKR (KKLW) yang terkini pada masa itu. BIRM Fasa I juga dijalankan dengan merangkumi kawasan ‘pocket of poverty’ (kawasan berpendapatan rendah dan kawasan sekitarnya berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi rumah (HIS) yang dijalankan oleh DOS bagi memantapkan rangka kawasan bancian. Walau bagaimanapun, terdapat kawasan yang tidak diliputi, iaitu kawasan perkampungan Orang Asli, kawasan setinggan, kawasan FELDA dan kawasan estet/ladang yang mempunyai pentadbiran sendiri. Hasil daripada bancian tersebut seramai 181,564 isi rumah telah didaftarkan di mana 44,643 isi rumah dalam kategori miskin tegar, 53,557 isi rumah dalam kategori miskin dan selebihnya 83,364 mudah miskin.

6. Bagi mengatasi masalah keciciran dan cakupan dalam usaha untuk memantapkan senarai di dalam eKasih, BIRM Fasa II telah dijalankan bermula Januari 2008 sehingga Julai 2009 dengan metodologi BIRM yang sama untuk konsistensi data. Verifikasi dilakukan terhadap senarai (yang dianggap miskin) yang diterima daripada pemimpin tempatan dan agensi di peringkat negeri dan daerah. Hasil dariada bancian di peringkat Fasa II pula seramai 46,976 isi rumah telah didaftarkan di mana 6,366 isi rumah dalam kategori miskin tegar, 13,476 isi rumah dalam kategori miskin dan selebihnya 27,134 mudah miskin.

7. Memahami bahawa bancian sedia ada tidak berupaya mencakupi semua mereka yang layak, kaedah pendaftaran terbuka disediakan untuk mengatasi isu kemiskinan yang dinamik dan sentiasa berubah. Terdapat dua kaedah pendaftaran terbuka iaitu atas talian (online) boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang www.ekasih.gov.my dan melalui PPN. Walau bagaimanapun pendaftaran terbuka bukanlah untuk menentukan kelayakan untuk terima bantuan. Ianya hanya menentukan sama ada bancian terperinci layak dijalankan atau sebaliknya. Dari segi perundangan pula, maklumat yang diperoleh daripada bancian adalah terhad dan hanya boleh digunakan untuk tujuan eKasih. Bagi isi rumah yang telah diverifikasi sebagai miskin tegar, akan menjadi rujukan utama agensi yang memberi bantuan.

8. Sehingga 14 Januari 2011, sejumlah 195,493 kes di bawah pendaftaran terbuka telah diterima. Bilangan adalah dinamik dan bertambah berdasarkan kepada insiden baru kemiskinan. Daripada jumlah tersebut, 89,359 kes telah dibuat bancian, 66,377 kes tidak layak dibuat bancian dan selebihnya 39,757 sedang dibuat bancian.

PENGGUNAAN MAKLUMAT EKASIH

9. Maklumat dalam eKasih boleh digunakan untuk perancangan projek bagi penyaluran bantuan dan penyertaan projek oleh semuaagensi yang diberikan akses. Manakala, outputnya dapat dikesan apabila maklumat pendapatan yang diperolehi daripada projek dan bantuan yang diterima oleh setiap individu dalam isi rumah tersebut. Ini merupakan hasrat utama eKasih dibangunkan supaya pengesanan dan pergerakan setiap isi rumah dapat dipantau.

10. Di peringkat pelaksanaan pula, maklumat boleh juga digunakan untuk menyediakan peruntukan dan penilaian keberkesanan setiap projek atau bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak kepada pendapatan dan peningkatan kualiti hidup keluarga berkenaan di samping menggalakkan ketirisan dan penyalahgunaan (target focus).

11. Berdasarkan maklumat yang sentiasa dikemaskini oleh agensi yang menyalurkan bantuan, pengerakan setiap isi rumah dipantau dan anjakan dari miskin tegar kepada kategori yang lebih baik akan berlaku apabila pendapatan per kapita isi rumah berkenaan melepasi PGK per kapita miskin tegar dan secara agregatnya, bilangan ikut kategori di setiap peringkat akan dapat dijana oleh eKasih. Selain daripada itu, sekiranya didapati maklumat yang diperolehi semasa bancian dan pemutihan apabila lawatan berulang dilakukan didapati tidak tepat dan tidak layak, senarai ini akan dikeluarkan dari kategori asal dan tidak boleh ditimbangkan untuk terima bantuan di bawah program pembasmian kemiskinan.

12. Berdasarkan kepada data yang telah dikunci (locked data) dalam eKasih, pada masa-masa tertentu kadar kemiskinan ikut negeri atau kawasan boleh dijana ikut ketegori kemiskinan. Walau bagaimanapun data ini adalah dinamik dan berubah ikut jenis bantuan diterima.

DASAR KERAJAAN MENGENAI PENYALURAN PROJEK DAN PEMBERIAN BANTUAN

13. Di peringkat awal pembangunan eKasih, maklumat senarai projek,bantuan serta bantuan telah dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada program pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh kementerian dan agensi yang berkaitan. Walau bagaimanapun, senarai projek ini telah dikembangkan kepada jenis bantuan one-off dan tidak semestinya menyumbang kepada peningkatan pendapatan, seperti bantuan kebajikan dan sosial di bawah 1AZAM (NKRA –Low incomeHousehold).

14. Dari segi pelaksanaan dan penyaluran bantuan pula, Kerajaan telah membuat keputusan pada 6 Disember 2010, bahawa keutamaan penyaluran bantuan dan projek pembasmian kemiskinan diberikan kepada mereka yang telah disenaraikan dalam eKasih. Walau bagaimanapun bantuan dan projek boleh juga dipertimbangkan kepada mereka yang masih belum di senaraikan dalam eKasih sekiranya memenuhi syarat dan kriteria bantuan yang disalurkan oleh agensiagensi berkenaan.

PENAMBAHBAIKAN PADA EKASIH

15. Aktiviti utama eKasih ialah memastikan data yang dimasukkan dalam sistem adalah reliable dan tepat. Untuk itu, usaha pemutihan dan kemaskini sentiasa dilakukan di mana setiap individu dalam isi rumah akan dipastikan keperluannya dan disalurkan bantuan atau projek yang bersesuaian mengikut program sedia ada. Proses pemutihan ini akan menentukan pergerakan dan isi rumah yang telah melepasi PGK per kapita asal akan bergerak kepada kategori yang lebih baik atau “terkeluar” tetapi maklumat masih disimpan dalam eKasih. Sehingga 14 Januari 2011 sejumlah 43,340 isi rumah telah dikategorikan sebagai “terkeluar”.

16. Dalam masa yang sama, ICU JPM dengan kerjasama DOS bersedia untuk memberi latihan dan penerangan secara berterusan bagi meningkatkan kefahaman kepada semua pihak yang terlibat. Adalah menjadi haparan Kerajaan supaya dengan adanya sesi penerangan sebegini aspirasi dan hasrat Kerajaan dapat diterima baik oleh semua pihak.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan 

Jabatan Perdana Menteri

Putrajaya

24 Januari 2011

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: